Dalam konteks Malaysia, ahli-ahli DAP merupakan rakyat Malaysia yang menjunjung Perlembagaan negara yang menetapkan antaranya Islam sebagai agama Persekutuan.
DAP juga tidak menentang Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama bagi Malaysia dengan memberontak secara bersenjata.
Oleh itu, DAP merupakan warga negara Malaysia yang taat.
Melabelkan DAP sebagai kafir harbi, iaitu istilah bagi bukan Islam di luar negara umat Islam, yang menentang secara bersenjata negara yang diperintah oleh umat Islam, adalah salah dan sangat tidak tepat serta menzalimi hak kerakyatan mereka.
Dalam konteks hubungan antara Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang menetapkan dasarnya al-Quran dan Sunnah dengan DAP yang mengikat janji sepakat atas nama Pakatan Rakyat, maka ahli-ahli DAP yang bukan Islam boleh dikategorikan sebagai kafir mu'ahid, iaitu istilah bagi bukan Islam yang berikat janji dengan orang Islam.
Malah ikatan janji antara PAS dan DAP ialah untuk menentang sebarang bentuk penyelewengan pengurusan negara, menentang kezaliman polisi-polisi pemerintahan negara, mempertahankan perlembagaan Malaysia yang menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan.
Oleh itu, menyokong calon-calon pilihan raya DAP di kalangan bukan Islam yang bersepakat mengikat janji dengan Parti Islam Se-Malaysia dalam PRU13 nanti adalah tidak haram, malah ia bertepatan dengan prinsip siyasah syar’iyyah yang bermatlamat menolak dan menentang sebarang kezaliman dan penyalahgunaan kuasa dan menegakkan kebenaran.
Pakatan Rakyat telah bersepakat dan berjanji setia untuk mempertahankan Perlembagaan Malaysia khususnya dalam 4 perkara, antaranya Islam sebagai agama Persekutuan, Kedaulatan Raja-raja Melayu, hak Istimewa Melayu dan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.
Oleh itu, pakatan antara PAS, DAP dan PKR ini menepati dan selaras dengan tuntutan Islam yang menganjurkan sebarang kerjasama atas dasar kebajikan dan taqwa.
Ustaz Dr. Khairuddin Aman Razali Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat
Saifuddin Nasution: Pakatan Rakyat Convention 2010
Tidak ramai di dalam PAS yang mahu berani meniti batas menyuarakan permasalahan ini. Natijahnya ahli berada di dalam persimpangan dan keliru. Serangan dari luar datang bertubi-tubi. Saya fikir sikap mendiamkan diri tidak banyak menyelesaikan masalah. Biarlah saya cuba dengan berhati-hati membuat pencerahan semampu saya Insya Allah dan sekiranya saya tersilap tolong perbetulkan saya.
Keindahan PAS inilah dia menyediakan sebuah ruang untuk semua orang menyertainya. Ianya sebuah Parti Politik dan juga sebuah Jamaah Islamiah. Ada yang menyertainya sekadar politiknya saja, dan sesempurnanya ada yang menyertainya lebih dari sekadar Parti Politik tetapi juga sebagai sebuah Harakah Islamiah. Dengan sekeping borang yang diisi oleh seseorang yang mempunyai syarat berikut boleh melayakkan dirinya menjadi ahli PAS:
1. Warganegara Malaysia
2. Beragama Islam
3. ‘Aqil baligh menurut Hukum Syara’
4. Mengaku menerima serta taat kepada Perlembagaan PAS, peraturan, arahan-arahan dan keputusan-keputusan Parti dari masa ke semasa. (Fasal 11)
Tidak disebutpun syaratnya beliau seharusnya ber’aqidah sunnah wal jamaah atau ditolak keahliannya sekiranya beliau penganut Syiah.
Maka benar sepertimana yang disebutkan oleh Ustaz Nasaruddin Hassan Ketua Pemuda PAS Pusat mereka (golongan Syiah) ini boleh menyertai PAS dan pada setiap Borang Keahlian akan ada seorang Pencadang dan seorang Penyokong yang akan menyokong permohonan tersebut.
Setelah seseorang itu menjadi Ahli maka dia mempunyai Hak-Hak sebagai Ahli PAS dan dia perlu menunaikan Kewajipan-Kewajipan sebagai seorang Ahli PAS. (Fasal 16)
Tetapi jangan lupa:
Di dalam Fasal 7 Hukum dan Kekuasaan dinyatakan dengan jelas bahwa:
1. Adapun Hukum yang tertinggi sekali dalam PAS ialah KITABULLAH dan SUNNAH RASUL serta IJMAK ‘ULAMAK dan QIAS yang terang dan nyata, dengan tertakluk kepada Hukum yang tertinggi itu.
Manakala Kekuasaan PAS adalah dipegang oleh Muktamar Tahunan.
Dan tidak boleh dilupakan bagi menjamin Kekuasaan PAS ini tidak terkeluar (diulangi tidak terkeluar) daripada kehendak-kehendak Fasal 7 (1.) di atas itu tadi serta tidak berlawanan (diulangi tidak berlawanan) dengan Dasar PAS dalam Fasal 3 iaitu Islam maka Majlis Syura ‘Ulamak telah ditubuhkan. Majlis Syura ‘Ulamak ini terkandung di dalamnya tidak lebih 17 orang yang terdiri dari seorang Mursyidul ‘Am, seorang Timbalan Mursyidul ‘Am, seorang Setiausaha dan tidak lebih dari Empat Belas orang Ahli Majlis Syura ‘Ulamak. (Fasal 8 (2))
Manakala seseorang yang hendak dilantik menjadi Ahli Majlis Syura ‘Ulama itu hendaklah seorang yang mengetahui masalah-masalah pokok (AL USUL) dalam syariat Islam dan hukum-hukumnya. Beliau juga samada atau ataupun dan dapat merujuk masalah-masalah itu kepada Al Quran, As Sunnah, Ijmak dan Qias dengan faham akan maksud dan maknanya yang muktabar. Beliau hendaklah seorang yang ‘adil yakni tidak melakukan dosa besar atau terus menerus melakukan dosa kecil dan hendaklah terpelihara maruahnya serta hendaklah di kalangan ahli PAS. (Fasal 8 (3))
Jadi ini bentengnya 4 perkara:
1. Hukum Tertinggi – Al Quran, As Sunnah, Ijmak ‘Ulama dan Qias (Fasal 7 (1.))
2. Kekuasaan PAS- Muktamar Tahunan (Fasal 7 (1.))
3. Dasar PAS- Islam (Fasal 3)
4. Majlis Syura ‘Ulama (Fasal 8(1))
Seorang ahli PAS itu pula boleh dipecat apabila terbukti (diulangi apabila terbukti) (Fasal 15 (3)(a))
1. Ianya telah melanggar:
a. Perlembagaan PAS,
b. Aturan dan Peraturan serta arahan-arahan dan keputusan-keputusan Parti
2. Ianya telah melakukan sebarang perbuatan yang berlawanan dengan kepentingan Parti atau menyalahi tatatertib Parti.
Jadi setelah panjang lebar menghuraikan permasalahan ini di sebalik keterbukaan PAS menerima keahlian dari mereka yang menepati syarat-syaratnya, PAS juga menyediakan benteng-bentengnya yang tersendiri bagi mengawasi perjalanan gerakerja Parti agar tidak tersasar jauh dari landasan yang ditetapkan oleh Allah swt.
Sudah sekian lama PAS sudah bertapak di bumi Malaysia ini bukan kepalang umurnya menjangkau 61 tahun semenjak penubuhannya pada 24hb November 1951 sehingga sekarang. Pahit manis perjuangan, tribulasi, fitnah dan sebutkan saja apa jenis dugaan yang tak pernah dilalui PAS… semuanya dah dilaluinya dan PAS dari hari sehari bukannya semakin lemah tetapi semakin kuat dan dihormati.
Pimpinan datang dan pergi bermula dalam PAS ini dengan perginya Hj Ahmad Fuad bin Hassan Yang Dipertua Agung yang pertama meninggalkan PAS pada tahun 1953 menyertai Dato’ Onn, diikuti pula oleh Presidennya yang keempat yang paling lama menjadi Presiden iaitu Tan Sri Mohd Asri bin Hj Muda selama 27 tahun juga akhirnya meninggalkan PAS pada tahun 1982 menyertai UMNO. Dato' Mohd Nakhaie Haji Ahmad Naib Preiden PAS juga meninggalkan PAS pada tahun 1989 menyertai UMNO dan yang terakhir Dato’ Hassan bin Ali mantan Naib Presiden dan Pesuruhjaya Selangor yang dipecat pada Januari 2012. Ramai lagi di peringkat bawahan yang meninggalkan PAS ataupun disingkirkan kerana benteng yang ada di dalam Parti PAS ini sehingga individu-individu tersebut terbukti melakukannya dan selayaknya diambil tindakan.
Tuduhan yang dilemparkan kepada Timbalan Presiden Abang Mat Sabu bahwa beliau adalah penganut Syiah telahpun beliau jelaskan sebelum ini namun jawapan beliau itu tidak memuaskan hati banyak pihak. Maka sepatutnya diminta dari yang menuduh membawa bukti akan pertuduhan mereka tersebut tetapi bukti pertuduhan-pertuduhan itu semuanya berbentuk ‘hearsay’ bersifat cakap-cakap yang tidak boleh di terima pakai dalam mahkamah keadilan. Oleh kerana itu bagaimana pimpinan PAS mahu melayan fitnah seperti ini. Abang Mat ini pula membesar dalam PAS sejak dari akar umbi lagi ahli-ahli PAS melihat setiap amalan hariannya khususnya termasuk solatnya. Sepanjang sekian lama Abang Mat memimpin tidak ada apa yang mencurigakan mereka untuk mereka tidak memberikan ketaatan. Sekiranya jelas perbuatan beliau itu bercanggah dengan amalan Ahlu Sunnah Wal Jama’ah sudah lama awal-awal lagi isu ini meletup dan sudah tentu beliau tidak akan naik ke peringkat tertinggi Parti setinggi ini kerana benteng yang ada dalam PAS ini. Orang mungkin boleh menyebut ‘taqqiyyah’ sheikh…. Oh begitu.. kalau begitu sungguh hebat lakonan taqqiyyah yang disembunyikan oleh Abang Mat ni sehingga tak dapat dihidu oleh Pimpinan Parti dan Majlis Syura ‘Ulama bertahun-tahun lamanya.
Memang tidak dapat dinafikan Abang Mat begitu menyanjungi beberapa pimpinan Iran seperti Ayatullah Ruhollah Khomeini, Ayatullah Hasan Nasrallah dan Dr Ali Shariati. Dan mereka ini dengan jelas mengkritik isteri Rasulullah saw dan beberapa para sahabat r.a. Tetapi ini tidak bererti Abang Mat menyetujui sikap sebegini kerana tidak pernah ahli PAS mendengar Abang Mat mengkritik isteri Rasulullah saw dan para sahabat r.a na’uzubillahi min zalik. Tidak ada. Tidak ada rakaman yang menunjukkan Abang Mat mempunyai pegangan Rukun Islam seperti Rukun Islam Syiah di mana Rukun Dua Kalimah Syahadah digantikan dengan Rukun Al Wilayah. Tidak ada. Tidak ada gambar atau video yang menunjukkan Abang Mat sembahyang mengikut Mazhab Syiah dengan menggunakan batu Karbala untuk tempat bersujud. Tidak ada. Tidak ada rakaman yang menunjukkan Abang Mat menyokong tindakan Rejim Syiah Syria yang membunuh umat Islam Sunni sepertimana yang ditunjukkan oleh Iran. Tidak ada. Tidak pernah ada bukti Abang Mat mengazankan untuk mana-mana Solat fardhu sepertimana Azan Syiah yang menyelitkan Asyhaduanna ‘Ali Waliyullah. Tidak ada. Jadi bagaimana Pimpinan Pusat, Majlis Syura Ulama, Ahli PAS mahu dan dapat mensabitkan hukuman terhadap Abang Mat. Benteng yang dibina oleh PAS ini cukup ampuh untuk mana-mana individu dapat melepasi kubu ini dan ia telah terbukti sepanjang 61 tahun ini. Alhamdulillah.
Jadi persoalannya apakah niat golongan-golongan tertentu ini begitu bersungguh-sungguh menimbulkan isu ini? Apakah tujuan pihak-pihak ini menimbulkan keraguan terhadap Parti Islam SeMalaysia? Kenapa mereka beriya-iya benar memberikan peluru kepada musuh-musuh Parti Islam SeMalaysia ini?